Kenya
Delegasi Malaysia berkongsi pengalaman pendidikan tinggi negara terutama laluan pendidikan fleksibel APEL.Q yang menarik minat warga Kenya. - Gambar: Ihsan MQA

KUALA LUMPUR – Pelajar di Kenya menyatakan minat untuk menyambung pengajian di Malaysia menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu dinyatakan perwakilan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan negara berkenaan ketika pertemuan di Majlis Makan Malam Program Pengantarabangsaan Study in Malaysia.

Katanya, pada program anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) itu, pelajar di Kenya sangat tertarik dengan pendidikan fleksibel di Malaysia terutamanya laluan APEL.Q.

“Purata tenaga kerja di sini (Kenya) mempunyai pengalaman kerja 10 hingga 25 tahun, justeru tidak hairanlah mengapa mereka berminat dengan laluan APEL.Q.

“Kita baru buka akses laluan APEL.Q untuk pelajar antarabangsa dan ini merupakan satu daripada cara untuk menarik minat pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di IPT Malaysia,” katanya ketika mengulas mengenai Lawatan Kerja Promosi Pendidikan Tinggi Malaysia di Kenya dan Tanzania, baru-baru ini.

APEL.Q ialah satu daripada inisiatif MQA dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat seterusnya memperkasa usaha mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat.

Pemohon perlu memenuhi minimum tahun bekerja sebagai pengalaman pada tahap sesuai dalam bidang yang relevan iaitu lima tahun pengalaman, diploma (10 tahun), diploma lanjutan (12 tahun), ijazah sarjana muda (15 tahun), ijazah sarjana (20 tahun) dan ijazah kedoktoran (25 tahun).

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya komited untuk meneroka strategi pengantarabangsaan baharu dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama bersama agensi lain dalam usaha mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia seperti saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, ia bagi merealisasikan hasrat menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat.

“Hubungan yang baik dengan badan akreditasi global memberi kelebihan kepada MQA untuk terus meningkatkan kualiti serta imej pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa menerusi pengiktirafan bersama.

“Selain kualiti pendidikan, kos sara hidup, infrastruktur di kampus yang baik di samping tahap keselamatan juga menjadi faktor utama yang menjadi daya penarik pelajar antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian,” katanya.

Dalam pertemuan berasingan, Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kenya National Qualifications Authority (KNQA), Dr Juma Mukhwana dan Setiausaha Suruhanjaya/Ketua Pengawai Eksekutif Comission for University Education (CUE) Kenya, Prof Mike Kuria turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan MQA.

“Mereka turut berhasrat untuk bekerjasama berkaitan pendidikan fleksibel terutama membabitkan APEL dan mahu memeterai memorandum persefahaman dengan MQA untuk aktiviti pemindahan kredit, pertukaran pelajar serta kolaborasi lain antara kedua-dua belah pihak,” katanya. – MalaysiaGazette