KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer mengakui beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.
Difahamkan Abdul Malik ditahan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Abdul Malik menerusi rakaman video hari ini berkata: “Assalamualaikum, alhamdulilah. Saya kini berada di pejabat peguam saya, Datuk David (Gurupatham). SPRM telah panggil saya untuk siasatan baru-baru ini. Saya juga telah berikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dan berikan kesemua maklumat yang diminta daripada saya.
“Saya cukup berterima kasih dan terharu dengan doa-doa semua selama beberapa hari ini. Kita doakan yang terbaik dalam kes. Harap akan penyelesaian dan saya akan terus bekerjasama jika ada apa-apa. Saya harap keadilan akan membuktikan kebenarannya,” katanya.
Kelmarin media melaporkan bahawa seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya ditahan dalam serbuan serentak yang dilakukan Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor sejak Isnin lalu.
Menerusi operasi kali pertama Pasukan MATF yang diketuai oleh SPRM itu telah merampas wang tunai kira-kira RM38 juta, emas seberat 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz. -MalaysiaGazette
Datuk dan sekutu ditahan bersama wang tunai RM38 juta, emas bernilai RM60 juta