Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menggugurkan keahlian dua pemimpinnya yang bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Negeri (DUN) ke-15 sebagai peringatan kepada ahli dan mana-mana pemimpin yang membuat keputusan merugikan parti.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan Pas melantik calon bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada hari penamaan calon 29 Julai lalu adalah atas kehendak pucuk pimpinan.

“Setiap daripada kita perlu mendukung keputusan parti walaupun tidak bersetuju. Itu adalah realiti sebagai ahli parti. Suka atau tidak suka, bila sudah menjadi keputusan, kita perlu terima,” katanya yang dipetik Harakahdaily hari ini.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie digugur keahlian kerana bertanding sebagai calon bebas.

Takiyuddin dilaporkan berkata, seramai lapan individu dari Pas melanggar ketetapan parti melibatkan calon, wakil calon, pencadang serta penyokong di dua DUN iaitu Air Hangat dan Kuah.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, tindakan menyanggah keputusan yang ditetapkan parti dibimbangi boleh mencetuskan natijah tidak diingini.

Katanya, kejadian yang berlaku di Langkawi perlu dijadikan pengajaran supaya tidak berulang pada masa hadapan.

“Sebenarnya kita telah berusaha, tetapi pada saat akhir, watikah yang dikeluarkan, dua DUN berkenaan (Air Hangat dan Kuah) ditandingi calon PN dari Bersatu.

“Suka tak suka, bila dah jadi keputusan kena akur dan terima. Saya tahu sebahagian jentera kecewa dengan keputusan itu, tapi ia adalah perkara biasa,” katanya. – MalaysiaGazette