KUALA PILAH – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan turut membawa rezeki kepada peniaga lemang yang lazimnya hanya meraih pendapatan berganda pada musim perayaan.
Peniaga lemang, Abdul Samad Tadin, 64, berkata, jualan lemangnya meningkat hampir sekali ganda sejak kempen PRN bermula 29 Julai lalu berbanding hari biasa sebelum ini.
“Biasanya, setiap hari saya mampu menjual sehingga 70 hingga 80 batang lemang sehari tapi meningkat menjadi sekitar 400 batang pada musim perayaan Aidlifitri dan Aidiladha.
“Tapi sejak akhir bulan lalu, jualan meningkat hampir sekali ganda sekitar 120 hingga 150 batang sehari,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di gerai Lemang Otai diusahakannya di Kampung Ibol Terachi, Jalan Kuala Pilah di sini hari ini.
Menurutnya, peningkatan jualan itu mungkin disebabkan ramai jentera kempen PRN mula berkampung di Negeri Sembilan sehingga hari mengundi 12 Ogos ini.
“Ramai juga pelanggan yang datang sejak minggu lalu bila saya tanya, mereka kata dari luar dan datang ke sini sempena PRN.
“Alhamdulillah, nampaknya memang pilihan raya ini buat jualan lemang otai saya juga hampir sama ketika jualan pasa musim perayaan,” katanya. – MalaysiaGazette