Noor Azlina (tengah) bersama anak-anaknya, Elly dan Nasha menunjukkan gambar mereka sekeluarga yang sempat dirakam pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

KUALA TERENGGANU – ”Adik tunggu, ayah dah nak pergi dah”.

Demikian perbualan terakhir antara pemandu teksi yang maut malam tadi, Mohd Latif Idris, 51, bersama anak bongsu perempuannya, Eliy Syazwani.

Detik terakhir diungkapkan oleh ayahnya ketika mengambil Eliy, 16, yang pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di sini pada sebelah petang semalam sebelum tragedi yang meragut nyawa Mohd Latif.

Bagi Eliy, pesanan terakhir ayahnya mengundang tanda tanya namun dia hanya mendiamkan diri.

Eliy Syazwani Mohd Latif

”Saya tak jawab tapi cuma turutkan sahaja. Memang pelik kenapa ayah macam itu.

”Bila sudah jadi macam ini, baru terfikir semula ayah cakap semalam,” katanya hiba ketika ditemui di Kampung Kubang Parit di sini hari ini.

Pelajar tingkatan itu ditemui bersama ibu dan abangnya di perkarangan rumah mereka bersama saudaranya menantikan jenazah ayah.

Jenazah  dikuburkan di kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Kubang Parit pada hari ini.

Noor Azlina tidak dapat menahan sebak mengenangkan insiden yang menimpa arwah suaminya yang ditemui meninggal dunia dalam teksi sendiri pada malam tadi.

Isteri mangsa, Noor Azlina Ramli, 41, pula berkata, kali terakhir bertemu suaminya pukul 2.30 petang semalam sebelum Mohd Latif meneruskan pekerjaan sebagai pemandu teksi ke Kota Bharu, Kelantan.

Namun beliau sempat berhubung dan berbual dengan suaminya pada pukul 8 malam semasa mohd Latif dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu.

”Memang arwah bawa teksi sudah bertahun, keluar awal pagi dan awak balik dan keluar semula. Selepas arwah balik dari Kota Bharu, dia meneruskan membawa teksi di kawasan bandar, (Kuala Terengganu),” katanya.

Sebelum itu, Noor Azlina berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan oleh anak saudara berhubung insiden menimpa suaminya kira-kira pukul 11.45 malam tadi.

Selepas itu beliau sugul namunui menyerahkan sepenuhnya urusan kes berkenaan kepada polis.

Manakala anak lelakinya, Muhammad Nasya Fikri Mohd Latif, 20, menyifatkan arwah seorang bapa yang baik dan penyayang.

Namun terkejut kerana tidak menyangka ayahnya ‘pergi’ secara tiba-tiba.

Muhammad Nasya Fikri Mohd Latif

Muhammad Nasya berharap agar semua pihak menghormati keluarganya dengan tidak menularkan gambar di tempat kejadian.

”Saya minta semua hentikan penyebaran gambar-gambar kalau ada video kejadian arwah dan minta henti buat spekulasi kerana siasatan masih berjalan,” katanya. –

ARTIKEL BERKAITAN :

Lelaki mati berlumuran darah dalam teksi sendiri