Khairy Jamaluddin ditemui selepas membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) Gemas, Ridzuan Ahmad di Felda Jelai hari ini.

TAMPIN – Gelombang pengundi Melayu penentu pihak mana yang akan memenangi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sama ada Kerajaan Perpaduan di bawah kerjasama parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) atau Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kemenangan itu tidak boleh ditentukan kaum lain terutamanya Cina yang 90 peratus daripada mereka jelas akan memberikan undi kepada PH.

“Peratusan keluar mengundi itu satu (penentu kemenangan) tapi disusuli dengan gelombang perubahan. Kalau gelombang perubahan itu ada maka kawasan yang dulu dianggap selamat akan mungkin jatuh (kalah).

“Jadi PRN ini banyak bergantung kepada gelombang pengundi Melayu, itu yang akan menentukan kemenangan sebab pengundi bukan Melayu terutama Cina kita tahu, tak payah tanya pun, 90 peratus mereka akan undi PH-BN.

“Undi Cina letak pun, dia akan undi PH, so lupakan tentang ramalan undi Cina dan ini soal gelombang pengundi Melayu,” katanya.

Khairy membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) Gemas Ridzuan Ahmad di Felda Jelai, Negeri Sembilan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) Gemas, Ridzuan Ahmad di Felda Jelai hari ini.

Ditanya apakah ramalannya terhadap peratusan pengundi Melayu keluar esok, Khairy berkata, ia akan melebihi 85 peratus.

“Kalau banyak gelombang itu pergi ke satu arah, ia akan mengubah ramalan tersebut tetapi ramalan saya masih lagi kekal.

“Ramalan saya akan kekal 3-3,” katanya yang bermaksud mengekalkan status quo seperti sebelum DUN dibubarkan iaitu PN akan kekal menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala PH-BN terus berkuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, ditanya mengenai mampukah PH-BN mengekalkan kemenangan 36-0 di semua kerusi DUN Negeri Sembilan seperti Pilihan Raya Umum (PRU) – Khairy tidak menjangka ia akan berlaku.

“Itu (36-0) ramalan best case scenario berdasarkan sifir satu tambah satu adalah dua. Satu undi kepada BN, satu undi PH dari keputusan PRU lepas jadilah dua sebab sekarang ini sudah PH-BN.

“Tapi saya rasa ia bukan begitu kerana adakalanya satu (undi) sahaja dan satu lagi akan lari, kita tak tahu. Sebabnya mesti ada kesan BN kerjasama dengan PH,” katanya. – MalaysiaGazette