Osman Abu

SEREMBAN – Pengundi di Negeri Adat Perpatih mahu wakil rakyat baharu yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam terus melaksanakan tugas diamanahkan bukan merebut jawatan di dalam parti.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, rata-rata mereka menuntut segala manifesto yang dijanjikan sepanjang 14 hari kempen PRN segera diusahakan tanpa mengira latar belakang politik.

Peniaga, Osman Abu, 43, berkata, rakyat hari ini sudah muak apabila terpaksa ‘diheret’ ke dalam PRN namun masih akur melaksanakan tugas kepada negara.

Roslan Sharifi

“Rakyat sudah buat kerja semalam (undi), harap pada pemimpin yang menang ini buatlah kerja betul-betul sebab kita sudah pilih dia.

“Buat kerja biarlah bagus sikit, biar ikhlas dan jangan sebab nak kejar jawatan sahaja tapi buat kerja pun mengarut,” katanya yang merupakan pengundi DUN Kota.

Pandangan sama dilontarkan Muhammad Farris Mansor, 31, yang mahu kerajaan dibentuk tidak mensia-siakan harapan rakyat.

“Tolong jangan sia-siakan harapan yang sudah diberi, pemimpin buatlah kerja dengan sungguh.

“Tunjukkan pada kami perubahan terhadap masa mengundi yang dah diluangkan semalam,” kata pengundi DUN Rasah, Roslan Sharifi, 29.

Julaidah Zainul

Bagi suri rumah, Julaidah Zainul, 40, yang merupakan pengundi DUN Rantau, dia kecewa melihat sikap pemimpin politik hari ini yang tidak mempunyai pendirian terhadap perjuangan.

“Saya lihat wakil rakyat hari ini tiada pendirian dan bertanding semata-mata untuk kejar jawatan lain dalam politik bukannya mahu kerja untuk rakyat.

“Pengundi letakkan kepercayaan memilih pemimpin ikut parti, tapi akhirnya A yang kita pilih, A sampai Z semua kita dapat,” katanya merujuk kepada parti yang bergabung menjadi sebuah blok parti sekutu,” katanya.

Keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan semalam menyaksikan gabungan Kerajaan Perpaduan PH-BN kekal mentadbir negeri Adat Perpatih itu apabila meraih 31 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Daripada segi pecahan parti PH-BN, UMNO mendapat 14 kerusi, diikuti DAP (11) PKR (lima) manakala Amanah memperoleh satu kerusi. – MalaysiaGazette