Gambar hiasan.

AMPANG – Gara-gara berang teman wanitanya mahu memutuskan hubungan cinta – seorang lelaki dikatakan menikam teman wanitanya itu sehingga tercedera di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, lelaki berkenaan telah memancitkan tayar kereta mangsa sebelum mengejarnya dalam kejadian di kawasan  kondominium di Bukit Antarabangsa dekat sini pada 6 Ogos lalu.

Bagaimanapun suspek kemudiannya lari menyembunyikan diri di Johor Bahru bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun suspek berjaya dijejaki dan diberkas, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail.

Semasa kejadian lebih kurang pukul 2.52 pagi, polis  telah menerima panggilan daripada orang awam yang memberitahu, seorang wanita ditikam di kawasan letak kenderaan kondominium di Bukit Antarabangsa.

Siasatan polis mendapati mangsa berusia 45 tahun ketika kejadian berada dalam kenderaan di tempat kejadian telah didatangi suspek yang merupakan teman lelakinya yang memancitkan tayar dan memecahkan cermin hadapan keretanya.

“Mangsa telah melarikan diri daripada teman lelakinya itu sebelum dikejar, ditikam dan dicederakan oleh suspek.

“Mangsa telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Ampang dan mengalami kecederaan luka dalam di bahagian tengah, kiri perut dan luka di lengan kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Azam, berikutan insiden itu, polis telah memulakan pemburuan terhadap suspek.

Hasilnya pada 15 Ogos lalu lebih kurang pukul 5 petang sepasukan polis Ampang berjaya menjejaki dan menahan suspek  disyaki terlibat.

“Suspek seorang penganggur warga tempatan berumur 41 tahun telah diberkas di perkarangan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

“Semakan polis mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau dan ujian air kencing didapati negatif dadah.

“Siasatan mendedahkan punca kejadian suspek menikam teman wanitanya menggunakan senjata pisau adalah disebabkan mangsa mahu memutuskan hubungan cinta dengannya,” katanya.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini dan dibenarkan reman selama empat hari bermula bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Jika disabitkan kesalahannya, suspek boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat dan kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette