MELAKA – Kes denggi di Melaka meningkat hampir 100 peratus setakat Minggu Epid (ME) 32 berakhir pada Sabtu lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, ia merekodkan 688 kes, meningkat 329 kes atau 91.4 peratus dengan pecahan Melaka Tengah 507 kes, Alor Gajah (75) dan Jasin 106 kes.
Menurutnya, tempoh sama juga menyaksikan sebanyak 26 episod wabak berbanding 12 episod iaitu Melaka Tengah (17), Alor Gajah (2) dan Jasin tujuh episod.
“Peningkatan pekerja asing yang menyewa di kawasan pangsapuri di negeri ini juga menjadi antara cabaran dan penyumbang kepada peningkatan denggi.
“Justeru saya akan minta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) periksa kawasan di sini yang didiami hampir 70 peratus warga asing sama ada tempoh perakuan penginapan mereka masih sah laku atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi cegah denggi di Pangsapuri Kota Laksamana di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana Low Chee Leong.
Mengulas lanjut, Hee Sem yang juga ADUN Machap Jaya berkata, kawasan pangsapuri berkenaan juga menjadi lokaliti wabak baharu diisytiharkan Isnin lalu.
“Ia menyaksikan dua kes dilaporkan dan kawasan ini memang kerap berlaku wabak iaitu antara empat hingga 10 kes sejak 2017 hingga tahun lalu.
“Sebab lain peningkatan kes adalah daripada prestasi tidak memuaskan persatuan penduduk untuk menganjurkan gotong royong bersama masyarakat setempat,” katanya.
Tambahnya, persatuan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) seharusnya menyahut seruan kerajaan mengutamakan kebersihan setempat menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). – MalaysiaGazette