Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

MUAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menjadi pintu masuk gelombang Perikatan Nasional (PN) menawan Johor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berseloroh, mereka bukan sahaja mampu merampas Johor malah PN juga mampu membawa gelombang perubahan itu sehingga ke Singapura jika diadakan pilihan raya di republik berkenaan.

“Gelombang (PN) ini takkan berhenti dan Johor juga tidak terkecuali, insya-Allah dalam tempoh dua tahun setengah lagi kita akan ambil negeri ini.

“Pintu masuknya di sini (DUN Simpang Jeram)….akan melanda Johor sampai ke Singapura,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera PN DUN Simpang Jeram di Markas PAS Bakri di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan calon PN DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya.

Mengulas lanjut, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keyakinannya itu kerana pengundi sudah memahami senario politik hari ini yang memerlukan perubahan besar.

“Ini bukan sentimen (seperti) ada orang Johor kata di negeri-negeri utara dan Pantai Timur itu (pengundi) taksub (PN), tak.

“Tapi sebab rakyat di negeri itu sudah faham apakah politik yang dibentuk ini dan keperluan untuk buat perubahan besar.

“Gelombang PN itu akan sampai sini bila semua orang ada kefahaman dan bukan ketaksuban, cuma tunggu masanya sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.