Foto Facebook FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan jalinan kerjasama terbaharunya bersama pasar raya terkenal di Malaysia, AEON BiG (M) Sdn. Bhd. selepas Pestabola Merdeka 2023 sehingga penghujung 2024.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jalinan kerjasama itu bakal membuka peluang untuk FAM meluaskan lagi jenama Harimau Malaya di seluruh negara.

“Dengan 21 cawangan di seluruh negara, sudah tentu FAM dapat memanfaatkan peluang untuk mempromosikan jenama FAM dan Harimau Malaya serta kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung Oktober ini.

“Usaha untuk membangunkan arena bola sepak adalah usaha yang kolektif membabitkan pelbagai pihak termasuk barisan penaja. Tanpa sokongan daripada mereka, sudah tentu objektif FAM untuk memperkukuhkan sistem bola sepak negara tidak dapat dicapai.

“Mewakili pihak FAM, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak AEON BiG di atas kesudian untuk menjadi sebahagian daripada keluarga FAM,” kata.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pestabola Merdeka 2023 di AEON Big Cawangan Wangsa Maju di sini hari ini.

Kehadiran AEON BiG sebagai rakan penaja pasar raya rasmi FAM dan Harimau Malaya menjelang kempen edisi ke-42 Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung pada 13 dan 17 Oktober ini dilihat sebagai satu kerjasama yang cukup istimewa buat FAM.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, AEON BiG menerusi 21 cawangan yang ada di seluruh negara dijangka dapat menarik minat peminat sukan bola sepak tanah air menyaksikan kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

Tambah beliau, kerjasama yang terjalin erat antara AEON BiG dan FAM adalah pilihan tepat selaras dengan prestasi mantap yang ditunjukkan pemain pada kojahanan bola sepak pada tahun ini.

“Sukan bola sepak merupakan salah satu sukan yang amat dekat di hati kebanyakan rakyat Malaysia. Kami amat bersyukur kerana mempunyai peluang untuk mendekatkan lagi warga AEON BiG dengan sukan,” katanya.

Penglibatan AEON BiG di dalam bidang sukan bertujuan untuk mempromosikan sukan tempatan dan membina hubungan yang lebih kukuh di dalam komuniti.

Sebelum ini, AEON BiG telah menjadi penaja kepada Malaysian Football League, Selangor FC, MBSJ Liga Super Wanita dan Liga Besbol Kebangsaan 2023 dan juga penajaan Setiawangsa Rangers FC juga memperlihat penglibatan AEON BiG dalam peringkat komuniti. – MalaysiaGazette