Pemain sayap pasukan Malaysia, Faisal Halim

KUALA LUMPUR – Pemain sayap pasukan Malaysia, Faisal Halim sedia bangkit untuk kembali membantu Harimau Malaya pada dua aksi persahabatan dan kejohanan Pestabola Merdeka tidak lama lagi.

Pemain berusia 25 tahun itu juga optimis untuk terus membantu pasukan bimbingan Kim Pan-gon lebih cemerlang selepas selesai menjalani penggantungan selama satu bulan.

Kata pemain Selangor, dia hanya beraksi 45 minit selepas kembali beraksi dan semakin bersemangat untuk mencari momentumnya semula.

“Kita perlukan sokongan daripada rakyat Malaysia untuk memberikan yang terbaik. Saya tak rasa ini satu perlawanan yang mudah.

“Kami bagaimanapun mahu memberikan yang terbaik.

“Saya juga bersedia untuk membantu pasukan negara walaupun baru beraksi satu perlawanan selama 45 minit. Saya kembali dengan lebih kuat,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pestabola Merdeka 2023 dan pengumuman kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia dan AEON Big di Aeon Big Wangsa Maju di sini hari ini.

Faisal sebelum ini digantung beraksi selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos lalu namun dibenarkan menjalani latihan selepas membuat rayuan.

Dalam pada itu, dia sedang menjalani latihan bersama Harimau Malaysia bagi aksi persahabatan menentang China dan Syria bulan depan.

Pertemuan menentang Syria ranking ke-80 dan 94 dunia itu di Chengdu, China pada 6 serta 9 September inu akan menjadi kayu pengukur sejauh sejauh mana kemampuan pemain negara menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Sementara itu, Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey berjanjikan Harimau Malaya mahu memberikan yang terbaik pada perlawanan persahabatan di China itu dan juga Pestabola Merdeka.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu kini merupakan pemain tempatan paling cemerlang apabila meledak 10 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Dia juga beraksi dengan baik ketika berdepan Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon pada Jun lalu.

Malaysia dijadualkan berdepan India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka pada 13 Oktober ini.

Sekiranya berjaya meraih kemenangan, mereka akan menanti pemenang antara Lubnan dan Palestin sebagai lawan di pentas final yang diadakan pada 17 Oktober. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast