MELAKA – Polis sedang mengesan seorang gadis yang dilaporkan hilang dengan turut membawa senaskah al-Quran dari rumah keluarga angkatnya di Taman Belia Antarabangsa, Ayer Keroh, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Asisten Komisioner Chistoper Patit berkata, kehilangan Roslinda Abdullah, 21, disedari ibu angkat yang menjaganya sejak berusia 10 tahun kira-kira jam 6.30 pagi 11 September lalu.
Menurutnya, orang yang dilapor hilang (OYDH) itu juga tidak membawa telefon bimbit ketika dipercayai keluar dari rumah selepas dimarahi ibu angkatnya berusia 37 tahun yang menjaganya sejak 2012.
“Gadis yang tidak mempunyai telefon bimbit itu dilaporkan hilang dengan hanya membawa membawa dokumen pengenalan diri, kad ATM, cincin tunang, al-Quran dan beg tangan bertulis Roslinda.
“Sebelum itu, OYDH telah dimarahi ibu angkatnya kerana tidak mengemas bilik dan tidak membuat kerja rumah sedangkan akan berkahwin tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelas Christopher siasatan lanjut pada hari kejadian mendapati, anak lelaki ibu angkatnya berusia 10 tahun ada mengejutkan gadis berkenaan yang tidur di ruang tamu rumah untuk membuat susu bayi ibunya kira-kira jam 3.30 pagi.
“Bagaimanapun selepas wanita itu bangun pada pukul 6.30 pagi, dia mendapati anak angkatnya itu sudah tiada di rumah dan terus mencari di rumah rakan-rakannya namun gagal menemuinya.
“Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada pukul 12.33 pagi 13 September lalu kerana bimbang akan keselamatan anak angkatnya itu,” katanya.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Roslinda agar menghubungi mana mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette