MELAKA – Sebuah syarikat penerbitan diarahkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar semula wang deposit menyertai program usahawan Dubai berjumlah RM2,500 kepada seorang guru, di sini, hari ini.
Presiden Mahkamah TTPM, Abdul Rashid Daud memerintahkan syarikat berkenaan membayar tuntutan penuh itu sebelum 12 November ini.
Kegagalan pihak penentang mematuhi perintah itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 117 Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak penuntut, Zanahariah Jaafar, 55, ketika ditemui selepas sesi pendengaran memberitahu, tuntutan itu dibuat selepas dia menarik diri untuk menyertai program berkenaan pada 3 Mei lalu dan dimaklumkan layak mendapat semua deposit RM2,500 yang telah dibayar sebelum itu.
“Sebelum ini, saya tertarik melihat iklan di Facebook menawarkan Program Usahawan Wanita Malaysia-Dubai selama empat hari pada 22 hingga 26 Disember pada bayaran RM4,500 sahaja manakala selebihnya ditanggung syarikat.
“Saya telah menjelaskan secara ansuran keseluruhannya berjumlah RM2,500 antara Disember 2022 Mei 2023 namun terpaksa menarik diri kerana anak bongsu terpaksa menjalani pembedahan,” katanya.
Menurutnya pada awalnya, dia merancang untuk menyertai program berkenaan bagi mencari peluang perniagaan minyak wangi di Dubai namun terpaksa membatalkan hasrat itu.
Dia kemudian terpaksa membuat tuntutan di Mahkamah TTPM selepas pihak penentang enggan memulangkan wang tuntutannya yang dijanjikan dibayar pada 12 Jun yang masih tidak diterima sehingga ke hari ini.
“Keputusan mahkamah hari ini memberi kemenangan kecil kepada saya sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak manjadi mangsa syarikat yang cuba bersikap lepas tangan terhadap pengguna.
“Setidak-tidaknya, dapatlah wang ini digunakan untuk meringankan beban anak bongsu yang baru menjalani pembedahan Mei lalu,” katanya. – MalaysiaGazette.