KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 115 laporan polis berkaitan penipuan pelaburan I-Serve setakat ini dengan membabitkan kerugian berjumlah RM118.6 juta.
Pelaburan I-Serve ini dikaitkan dengan seorang pengasas bersama syarikat penerbangan MYAirline bergelar Datuk.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagaimanapun siasatan masih diteruskan polis dalam kes tersebut.
Katanya, buat masa ini seramai 10 orang ditahan dalam kes berkenaan dan tiada sebarang tangkapan suspek baharu.
“Kes berkenaan (I-Serve) masih dalam siasatan kami. Ini semua berkenaan penjejakan wang, akaun dan banyak forensik kewangan untuk dibuat,” katanya dalam sidang media mingguan di Menara KPJ di Jalan Tun Razak hari ini.
Pada 26 Oktober lalu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lagi suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki bagi bagi membantu siasatan kes pelaburan I-Serve.
Penahanan itu menjadikan keseluruhan seramai 10 orang termasuk pengasas bersama syarikat MYAirline, pemegang saham, peguam dan beberapa kakitangan I-Serve ditahan untuk membantu siasatan dalam kes tersebut.
Ramli juga menegaskan bahawa setakat ini, pihaknya JSJK melakukan rampasan sebanyak 12 buah kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu CPU dan 10 barang kemas.
Polis memulakan siasatan terhadap Pelaburan I-serve dan rangkaian syarikat di bawahnya bermula pada 17 Oktober lalu selepas pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah bergelar Datuk itu ditahan bersama isteri dan anaknya di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor dan direman untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan secara berperingkat bermula 21 Oktober lalu.
Kes berkenaan sedang disiasat polis bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.-MalaysiaGazette