Fadhlina Sidek.

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kemerosotan prestasi pelajar Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang dilaporkan baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beberapa punca telah dikenal pasti menyumbang kepada kemerosotan berkenaan termasuklah penutupan sekolah dalam tempoh masa yang lama akibat penularan Covid-19 dan kemiskinan multidimensi.

Bagaimanapun, katanya, KPM akan berusaha untuk menangani punca-punca tersebut termasuk melalui pelancaran Dasar Pendidikan Digital.

“Kedua keseniangan yang berlaku akibat kemiskinan multidimensi, miskin peranti, miskin ruang dan miskin peluang serta miskin akses internet. Semua masalah itu telah kita tangani dan akan terus kita tangani.

“Apabila kita luncurkan Dasar Pendidikan Digital pastinya ini juga sebahagian daripada konteks yang kita ingin pertingkatkan akan datang.

“Begitu juga dengan program pengukuhan yang memang sudah menjadi sebahagian gerak kerja sepanjang tahun ini sudah ada kejayaan kita mengatasi isu keciciran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dengan Selangor Technical Skills Development Centre (STDCX) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Fadhlina seterusnya berharap usaha berterusan oleh KPM melalui gerak kerja berkaitan akan memberi impak positif terhadap prestasi pelajar negara menerusi PISA akan datang.

“Harapan kita sangat tinggi lepas ini semua berada dalam jalur gerak kerja yang sama untuk terus perkukuhkan  pendidikan negara,” katanya lagi.

Baru-baru ini dilaporkan,  prestasi pelajar Malaysia dalam PISA 2022 merosot berbanding skor yang diperoleh pada 2018.

Daripada 81 negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2022, sebanyak 58 negara mengalami penurunan mata skor termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, United Kingdom (UK) dan Jerman.

Menerusi laporan berkenaan, pelajar Malaysia mengalami penurunan skor untuk tiga sektor utama iaitu Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan.- MalaysiaGazette