Mohd Azlan Helmi Helmi

IPOH – Pemisahan portfolio Kementerian Komunikasi dan Digital oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rombakan Kabinet pada Selasa, merupakan langkat tepat dalam melancarkan agenda pembangunan negara.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Nor Azlan Helmi Helmi berkata, ia memandangkan komunikasi dan digital merupakan bidang yang luas dan memerlukan pengkhususan secara terperinci.

“Bagi bidang pendigitalan umpamanya, mahu atau tidak negara perlu bergerak ke arah pengaplikasian teknologi digital dalam kehidupan seharian dan ia perlu dititikberatkan.

“Selain itu ia juga perlu diberikan penumpuan khusus bagi memastikan segenap lapisan masyarakat memahami segala aspirasi yang mahu digapai melalui dasar ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Azlan Helmi, kekuatan bidang komunikasi juga perlu dipusatkan kepada penyampaian informasi dan maklumat bagi memastikan segala manfaat yang dibawa kerajaan melalui pelbagai dasar dapat difahami serta dirasai semua pihak.

“Saya berkeyakinan penuh dengan pelantikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Menteri Digital Gobind Singh Deo ini akan mampu memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.

“Saya juga percaya perlantikan ini juga akan menjadi teras dalam memastikan kedua-dua bidang ini mencapai visi dan misi yang ditetapkan khusus untuk kesejahteraan rakyat.

“Di pihak Kerajaan Negeri Perak, kita harapkan pelantikan ini juga akan dapat memateri dengan lebih kukuh hubungan bersama kedua-dua kementerian ini khususnya dalam memperkasakan pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Terdahulu Anwar mengumumkan perlantikan 10 menteri dan timbalan menteri baharu dalam rombakan kabinet selain turut menyaksikan dua kementerian dipisahkan menjadi Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

10 menteri, timbalan menteri baharu Kerajaan Perpaduan