KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak berniat dengan kempen politik apabila menyalurkan bantuan kepada penggiat industri seni di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Kamil Othman berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang syarat tertentu kepada penggiat seni yang memohon bantuan apatah lagi fahaman politik.
“Memang kerajaan nak bantu tapi bila kita nak membantu artis ini, kita tak tanya latar belakang politik, perlu bantuan (mohon sahaja).
“Sebab kita tengok dari segi siapa yang perlu, semua ini (politik) ini hal peribadi. Kebanyakan bantuan ini pun bukan pasal nak kempen,” katanya pada sidang media di Kompleks Studio Merdeka FINAS hari ini.
Terdahulu Kamil merasmikan Program Sumbangan Bantuan Industri Kreatif di Pawagam Mini P. Ramlee.
Pada majlis sama, Kamil juga menyerahkan sijil pelantikan kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa FINAS yang baharu.
Antaranya Rozaidi Abdul Jamil, Esma Danial Md Isa, Khalil Saleh, Zahrin Ishak, Kismah Johari dan Datuk Fizal Fauzi.
Turut sama dalam lantikan baharu ialah Prof Datuk Seri Ahamad Musa So, Datuk Seri The Chee Thong, Datuk Shahril Nizam Yunos dan Datuk Mohd Banuri Aris.
Dalam pada itu, FINAS tidak memaksa mana-mana penggiat seni jika enggan menerima bantuan kerajaan itu hanya kerana berbeza fahaman politik.
“Terpulang kepada mereka sama ada nak berterima kasih. Takkan sudah dapat bantu lepas itu tapi masih lagi macam itu,” katanya.
Bantuan kerajaan kepada penggiat industri kini terbuka kepada semua pihak.
“Kerajaan sekarang ini sudah membuka pintu untuk kami mewujudkan jawatankuasa macam ini supaya kita boleh tekankan aspek bantuan.
“Kita bagi bantuan itu tiada sempadan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette