Hussein Omar Khan

GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan daripada Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) untuk mengkaji beberapa maklumat dan bahan bukti yang diperolehi dalam siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, bantuan itu melibatkan maklumat daripada pangkalan data Interpol dengan harapan membawa ke arah petunjuk positif menjejaki pembunuh kanak-kanak autisme itu.

“Kita (PDRM) ada minta bantuan daripada daripada Interpol berkaitan pangkalan data mereka .

“Kami ada beberapa maklumat tetapi tidak konklusif (tidak kukuh), maka PDRM perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada pangkalan data Interpol,” katanya ketika ditanya pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu pencarian suspek kes bunuh Zayn Rayyan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Turut bersama dalam sidang media itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam dan Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohd Rahim.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, setakat ini pasukan polis selesai merakam sebanyak 225 percakapan daripada keluarga dan penduduk di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Tambahnya, daripada jumlah itu polis mengumpul sebanyak 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) milik penduduk perumahan tersebut.

“Daripada jumlah itu sebanyak 240 sampel sudah dianalisa dan lain-lain sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia.

“Kita sudah pun dapat keputusannya tetapi tiada sebarang keputusan positif yang dapat membantu siasatan buat masa ini.

“Pun begitu, polis tidak akan berputus asa dalam menyiasat kes berkenaan walaupun mempunyai bahan bukti yang terhad setakat ini.

“Seperti semua tahu lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan adalah secondary crime scene (lokasi kedua jenayah-mayat ditemui) dan berikutan itu kita mempunyai bukti fizikal dan keterangan yang terhad, kita (polis) masih lagi sedang mengesan primary crime scene (lokasi utama pembunuhan),” katanya.

Katanya proses siasatan kes berkenaan kini telah memasuki fasa ketiga di mana pasukan forensik kini memberi tumpuan kepada unit tertentu di blok tertentu pangsapuri  berkenaan.

Tegasnya lagi, sepanjang siasatan kes berkenaan pihaknya turut menahan seramai 12 individu bersangkut pelbagai kesalahan termasuk narkotik tetapi ia tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.

“Siasatan masih dijalankan setiap hari di kawasan berkenaan, kita tidak akan berputus asa sebaliknya akan teruskan siasatan hingga pelakunya ditahan, mungkin bukan sekarang tetapi kami yakin pelaku ini akan ditahan,” ujar Hussein lagi.

Sebelum ini Zayn berusia enam tahun telah dilaporkan hilang pada waktu tengahari 5 Disember lalu sebelum gotong royong polis bersama penduduk setempat dalam pencarian kanak-kanak itu berjaya membawa kepada penemuan mayat di anak sungai pada jarak 200 meter dari perumahan itu jam 10 malam esoknya.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasikan kes sebagai Mati Mengejut sebelum menukar kes kepada bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan Autopsi menemukan kecederaan pada leher dan juga badan si mati.-MalaysiaGazette