Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias hadir ke mahkamah bagi perintah membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan dua pertuduhan amang seksual terhadapnya ketika di Mahkamah Sesyen Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 DISEMBER 2023.

KLANG – Di arah membela diri selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan ada prima facie dua pertuduhan amang seksual fizikal melibatkannya PU Azman menerima keputusan dengan terbuka.

PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 43, berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding keputusan mahkamah bersyukur dan reda dengan apa yang berlaku.

“Saya sangat bersyukur. Alhamdulillah atas musibah yang menimpa ini. Ada hikmah pastinya atas apa yang berlaku ini.

“Cik Man (bahasakan dirinya) terima apa yang jadi sahaja dan harapkan doa orang lain supaya dipermudahkan segala urusan,” katanya kepada media.

Beliau ditemani oleh peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad.

Terdahulu, PU Azman diperintah untuk membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini mendapati pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap dua pertuduhan berkaitan amang seksual fizikal.

Azman kemudian memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Tampil susut daripada sebelum ini, PU Azman mendedahkan beliau kini aktif beriadah terutamanya mendaki bukit.

Tambahnya, sehingga kini beliau masih menerima jemputan ceramah di beberapa kawasan khususnya di negeri Perak.

“Ada ceramah juga tapi kebanyakan saya buat aktiviti hiking. Saya sihat cuma banyak beriadah, cuma selalu hiking, itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Kes amang seksual: PU Azman diperintah bela diri