KUALA LUMPUR – Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) yang diperkenalkan bagi menawarkan bekalan elektrik hijau daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik yang mempunyai komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mengurangkan jejak karbon akan diteruskan pada tahun 2024.

Program yang mula dilaksanakan pada tahun 2022 ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam dalam menyokong aspirasi negara ke arah negara neutral karbon pada tahun 2050.

Pengguna yang melanggan GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.

Mereka juga akan mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah bekalan elektrik daripada sumber TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates atau mREC® yang berdaftar dengan badan persijilan antarabangsa.

Pada bulan Februari 2023, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad telah membuka langganan GET dengan jumlah kuota 6,600GWj dengan kadar premium 21.8sen/kWj iaitu berdasarkan kepada penanda aras penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk yang serupa.

Memandangkan langganan sedia ada pengguna bagi program GET ini akan ditamatkan secara automatik menjelang 31 Disember 2023. Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam sedang meneliti serta menambah baik pelaksanaan serta kaedah pengoperasian.

Ia termasuk meneliti semula kadar premium yang ditetapkan agar ia lebih kompetitif dan menarik.

Selain itu, meneliti semula kaedah penawaran GET bagi membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang; dan menetapkan kaedah bagi memberikan keutamaan langganan kepada pelanggan GET sedia ada yang setia bersama program ini untuk memperbaharui langganan masing-masing.

Perincian mengenai tawaran, pelaksanaan serta kaedah langganan program ini akan dimaklumkan oleh kementerian ini pada masa terdekat, setelah kajian dan penelitian semula program ini diselesaikan. – MalaysiaGazette