SHAH ALAM – Pemilik kenderaan boleh berkongsi Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau cukai jalan dengan mana-mana individu menggunakan fungsi baharu “Kongsi LKM” dalam aplikasi MyJPJ, bermula 2 Januari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia membolehkan e-LKM dikongsi dengan ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.
“Pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.
“Fungsi ini mempunyai had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan.
“Ia mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Padang Jawa di sini kira-kira 2 jam sejak 8.45 pagi tadi.
Dalam pada itu, Anthony juga berkata, sistem itu juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam.
“Sebagai contohnya, Encik Ahmad berhasrat menggunakan kenderaan milik ayahnya dalam tempoh satu minggu.
“Sebelum menggunakan kenderaan tersebut, ayahnya boleh membuat perkongsian e-LKM kepada anaknya melalui fungsi ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ,” katanya lagi. – Malaysiatte