Abdullah CD

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD, dilaporkan meninggal dunia hari ini di Kampung Perdamaian Sukhirin, Wilayah Narathiwat.

Beliau berumur 100 tahun.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Abdullah CD atau nama sebenarnya Cik Dat Anjang Abdullah meninggal dunia pada pukul 9.29 waktu Thailand.

“Mendapat perkhabaran duka pemergian Allahyarham Abdullah CD @ Cik Dat Anjang Abdullah yang telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.29 waktu Thailand.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” ucap Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Kematian Abdullah CD dimaklumkan oleh oleh menantunya Indrajaya Abdullah melalui hebahan media.

Abdullah CD merupakan Komander Rejimen Ke-10 PKM mengetuai pasukan komunis Melayu bergerak di sekitar kawasan Narathiwat di sempadan Malaysia–Thailand dan di dalam hutan Kelantan.

Beliau menerima arahan secara langsung daripada pemimpin nombor 1 PKM, Chin Peng.

PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand memeterai perjanjian damai Hat Yai pada 1989 mengakhiri konflik bersenjata lebih 40 tahun sejak darurat Inggeris 1948.-MalaysiaGazette