KTM Komuter mengambil penumpang di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengumumkan lima inisiatif pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan orang ramai semasa Thaipusam.

Menurut Menteri Anthony Loke, ini termasuk tambang percuma penumpang KTM Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari.

Bagaimanapun penumpang perlu mengakses pintu masuk dan keluar (ACG) menggunakan mode akses yang dibenarkan untuk menikmati tambang tren KTM Komuter secara percuma.

“Kita menjangkakan seramai 250,000 orang akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang sepanjang tempoh 4 hari 3 malam tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Hari Thaipusam pada 25 Januari 2024,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perkhidmatan KTM Komuter tambahan tanpa henti akan berlangsung selama empat hari tiga malam yang akan bermula pada 23 Januari sehingga 26 Januari.

Sebanyak 33 perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves dan 39 perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan tren tambahan KTM Komuter yang disediakan adalah sebanyak 72 perkhidmatan setiap hari.

Perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan bermula seawal pukul 9.55 malam pada 23 Januari dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves dengan kekerapan setiap satu jam.

Manakala, tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen Batu Caves akan bermula seawal jam 11.39 malam juga dengan kekerapan setiap satu (1) jam.

Tren tambahan ini merujuk kepada tambahan perkhidmatan selepas tren terakhir beroperasi setiap hari mengikut jadual hari bekerja.

KTMB juga menyediakan perkhidmatan tambahan baharu bagi pengguna dari Pelabuhan Klang yang boleh mendapatkan trip terus ke Batu Caves selepas 12 tengah malam.

“Tiada perkhidmatan tren tambahan dari Tanjung Malim ke Batu Caves dan sebaliknya.

“Walau bagaimanapun, pengguna-pengguna dari laluan ini boleh menaiki tren komuter dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur dan KL Sentral dan membuat pertukaran tren KTM Komuter ke Batu Caves. Alternatif lain adalah dengan mendapatkan MRT Sg. Buloh ke Stesen MRT Kampung Batu.,” katanya.

Tahun ini, sebanyak 28 stesen akan beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut berbanding 26 stesen pada tahun lepas yang melibatkan Stesen Rembau dan Pulau Sebang.

Untuk memudahkan pergerakan ulangalik Zon Tengah dan Zon Utara Semenanjung KTMB menawarkan empat perkhidmatan ETS tambahan dengan jumlah tiket tambahan sebanyak 3,150 bermula 24 Januari sehingga 28 Januari.

Dua perkhidmatan sehari bagi laluan Butterworth – KL Sentral dan KL Sentral – Butterworth pada 24 Januari dan 25 Januari.

Manakala dua perkhidmatan sehari bagi laluan Padang Besar – KL Sentral dan KL Sentral – Padang Besar pada 26 Januari sehingga 28 Januari.

Katanya, jualan tiket bagi tren-tren tambahan akan dibuka mulai 15 Januari 12 tengah hari.

Pihak Rapid Bus juga akan menyediakan perkhidmatan bas-bas perantara percuma di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 24 dan 25 Januari.

Tiga laluan percuma Kuala Lumpur yang terlibat termasuk BC02 (Hab Bandar Pasar Seni – Batu Caves), BC03 (Stesen LRT Gombak – Batu Caves) dan BC04 (Stesen MRT Kg Batu – Batu Caves) dan satu laluan percuma Pulau Pinang yang terlibat adalah ST01.

Inisatif terakhir adalah membaik pulih Jejantas Pejalan Kaki di Stesen Keretapi Batu Caves yang dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC).- MalaysiaGazette