Nelayan luar menggunakan bot motor ekor biawak untuk mencuri benih kerang di lot-lot semulajadi di perairan negara di pantai Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

KUALA LUMPUR  – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melarang sebarang aktiviti pengambilan benih kerang termasuk nelayan dan penternak tidak berlesen dengan menggunakan sebarang kaedah termasuk penggunaan bot berenjin rotor atau menggunakan tangguk tangan menaiki sampan kayu (tongkah).

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain, DOF mengambil serius berkenaan keluhan dan aduan pengusaha lot kerang yang berdaftar di bawah jabatan itu berikutan peningkatan terhadap aktiviti pengambilan benih kerang di kawasan-kawasan tapak benih semula jadi kerang dan tapak kerang kultur.

“Jabatan Perikanan memberi amaran keras terhadap individu yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti mengambil anak/benih kerang secara haram.

“Menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mengambil benih kerang atau kerang dewasa tanpa suatu lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, lesen akan dikeluarkan apabila saiz kerang mencecah 4mm ke atas melalui notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Perikanan Negeri

Pada tahun 2022, empat kes direkodkan melibatkan satu sitaan dan tiga kes tangkapan kerang dengan nilai rampasan sebanyak RM8,500 di tiga buah negeri iaitu Selangor, Perak dan Johor.

Artikel berkaitan: Sindiket curi benih kerang makin rakus, macam tiada kesudahan – Nelayan

Curi benih kerang: Tiada tangkapan, rampasan selepas aduan dibuat

Sindiket curi benih kerang kembali bermaharajalela

Lebih 20 bot nelayan rompak benih kerang pantai Sungai Leman?

Sindiket semakin berani, rompak kebun kerang waktu siang

Gimik Jamal Md Yunos Bakar Kerang di Pejabat Jabatan Perikanan

Bagi tahun 2023, sembilan kes direkodkan dengan enam sitaan dan tiga tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM17,185.00 melibatkan empat negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

Kesalahan mengambil anak/benih kerang boleh disabitkan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002, Seksyen 3 (1) dan Sekyen 4 (1).

Sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan mengambil anak kerang atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan mengambil benih kerang atau kerang dewasa di suatu tapak kerang semulajadi atau tapak kultur melainkan jika dia diberikan satu lesen mengambil kerang oleh Ketua Pengarah dibawah Peraturan 8.

Adnan berkata, DOF sentiasa menjalankan pemantauan serta rondaan di laut juga darat bagi mengekang kes kecurian benih kerang dan tindakan penguatkuasaan membanteras aktiviti ini akan diadakan secara berterusan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.

Berdasarkan data perangkaan DOF, pendaratan kerang pada tahun 2022 adalah sebanyak 479.47 tan metrik dengan nilai RM 4,472,873.45 manakala bagi tahun 2023 merekodkan sebanyak 856.37 tan metrik dengan nilai RM6,811,769.16.

“Jumlah keseluruhan ini melibatkan lapan negeri iaitu Johor Barat, Kedah, Melaka, Perak, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu,” ujarnya.

MalaysiaGazette baru-baru ini melaporkan rasa tidak puas hati nelayan di Sekinchan susulan aktiviti curi beih kerang yang masih berleluasa di kebun semula jadi di Pantai Sungai Leman.

Menurut sumber, meskipun dua operasi DOF sebelum ini berjaya merampas dua bot tunda haram dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri benih kerang, namun ia tidak berupaya melumpuhkan jenayah itu.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, aktiviti mencuri sumber laut itu masih berterusan secara terang-terangan yang kini memasuki hari ke-15 sejak ia mula dikesan pada 28 Disember tahun lalu.

Katanya, komuniti nelayan di pantai Sungai Leman di sini semakin bimbang dengan kerakusan sindiket itu merompak hasil laut hingga merosakkan ekosistem hasil laut itu apabila terkena bilah motor bot ekor biawak. – MalaysiaGazette