Peserta-peserta dari Universitas Mercu Buana.

PULAU PINANG – Universitas Mercu Buana, Indonesia melalui pensyarah-pensyarah dari pelbagai disiplin dan barisan kepimpinan tertinggi universiti tersebut telah menjalankan program kesukarelawanan bersama tenaga kerja Indonesia (TKI) di sekitar Pulau Pinang.

Program kesukarelawanan itu membabitkan Konsulat Jenderal Indonesia di Pulau Pinang, 90 orang pensyarah dan 300 tenaga kerja Indonesia yang berkongsi maklumat dan pengetahuan dalam meningkatkan daya produktiviti tenaga kerjanya.

Konsulat Jenderal Indonesia di Pulau Pinang, Wanton Saragih berkata, kehadiran Universitas Mercu Buana sangat diperlukan dalam meningkatkan pengetahuan dan pendidikan tenaga kerja dari Indonesia dalam mendapani cabaran yang pelbagai.

“Semoga akan ada universiti lain dari Indonesia yang mengikuti jejak Universitas Mercu Buana melakukan program kesukarelawanan bersama masyarakat di Pulau Pinang di masa hadapan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan produktiviti rakyat Indonesia khususnya yang bekerja di sini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Rektor Universitas Mercu Buana, Prof Dr Andi Adriansyah berkata,   program kesukarelawanan masyarakat ini dianjurkan agar dapat memanfaatkan teknologi terbaru bagi TKI baik dari sudut teknologi yang membantu pekerjaan, teknologi media dan teknologi industri sehingga dapat meningkatkan pencapaian pekerjaan.

Selain itu, Wakil Rektor Bidang Sumber Daya, Prof Madya Dr Rizki Briandana berkata, selepas ini, Universitas Mercu Buana akan terus mengorak langkah dengan bercadang untuk turut mengadakan program di negara Taiwan, Hong Kong dan negara-negara lain dalam memberikan sumbangan yang bermanfaat kepada TKI yang bekerja di luar negara.

“Secara amnya, kami menumpukan kepada tema komunikasi kesihatan, literasi media dan meningkatkan kesejahteraan TKI yang bekerja di Malaysia. Harapnya mereka mendapat manfaat yang banyak dari sudut ilmu dan perkongsian pengalaman bersama para pensyarah yang bersemangat untuk hadir bersama-sama mereka dalam program ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette