Tiga disahkan mati dalam letupan gas daripada sebuah lori di ibu negara Kenya. Foto BBC

NAIROBI – Letupan gas besar di sini telah membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan hampir 300.

Sebuah lori yang membawa silinder gas tiba-tiba meletup di daerah Embakasi pada kira-kira 11.30 pada Khamis menyebabkan kebakaran besar.

Kawasan perumahan, perniagaan dan kereta musnah akibat tragedi itu.

Siasatan telah bermula dan timbalan presiden Kenya mahu ada pihak mengaku dan bertanggungjawab.

Seorang kanak-kanak adalah antara mereka yang maut, menurut Ketua Polis Embakasi, Wesley Kimeto, dan tidak menolak angka kematian akan meningkat.

Kira-kira 271 orang telah dibawa ke hospital, menurut pihak berkuasa, termasuk sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak.

Gabenor Nairobi Sakaja Johnson berkata, ramai daripada mereka telah dirawat dan dihantar pulang, tetapi sekurang-kurangnya 39 telah dihantar ke kemudahan hospital lain kerana kecederaan kritikal.

Sebanyak 27 orang lagi telah dirawat di lokasi kerana kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Kerajaan pada mulanya berkata, letupan berlaku di sebuah loji gas ketika pekerja sedang mengisi semula silinder gas, tetapi pihak berkuasa kemudian menjelaskan sebuah trak telah meletup di kawasan parkir.

Menurut jurucakap kerajaan Isaac Mwaura, bola api dari letupan itu “merebak secara meluas”.

Sebuah silinder gas terbang dan terjatuh di gudang pakaian dan tekstil lalu menyebabkan kebakaran.

Kebakaran telah berjaya dikawal dan operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan untuk mencari jika ada individu hilang.

“Masih ada usaha mencari sama ada terdapat mayat yang telah dibakar di pelbagai rumah,” kata Ahli Parlimen Embakasi Timur, Babu Owino.

Pihak Berkuasa Kawal Selia Tenaga dan Petroleum (Epra) dalam satu kenyataan berkata, loji gas itu menunding jari pada pelaksanaan undang-undang kerana telah menolak tiga permohonan permit pembinaan untuk membina kemudahan penyimpanan dan pengisian di tapak itu.

Namun, Epra berkata, reka bentuk itu tidak memenuhi piawaian keselamatannya dan terdapat populasi yang tinggi di sekitar tapak cadangan.

Tidak jelas bagaimana kemudahan itu masih boleh beroperasi. – Agensi