N. Surendran
N. Surendran

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, N Surendran menempelak sikap berdiam diri pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP ekoran siasatan terhadap Tony Pua.

Menurutnya, sikap berdiam diri itu memalukan kerana sebelum ini PH yang memainkan peranan sebagai pembangkang mengkritik serangan terhadap pemimpin mereka.

“Penyiasatan hasutan terhadap Tony Pua namun PH/DAP kebanyakannya berdiam diri – agak memalukan. Betapa rendahnya kawan-kawan lama saya telah ‘jatuh’,” ciap beliau menerusi aplikasi X hari ini.

Surendran yang juga seorang peguam berkata demikian mengulas mengenai siasatan terhadap Tony, bekas Ahli Parlimen Damansara itu yang dipanggil ke Bukit Aman hari ini.

Tony dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung kenyataannya didakwa berunsur menghina institusi diraja dalam soal pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di media sosial.

Bekas Ketua Biro Publisiti DAP Kebangsaan itu tiba ke Ibu Pejabat Polis itu pukul 12.48 tengah hari tadi ditemani Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau.

Turut hadir Pengerusi DAP, Lim Guan Eng merangkap Ahli Parlimen Bagan juga hadir sebagai menyatakan sokongan solidariti kepada Tony.

Dalam pada itu, Surendran berkata, beliau dan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dulu sering mengutuk Akta Hasutan.

Jelas beliau, perkara itu seolah-olah ‘dilupakan’ apabila Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Di bawah ini (gambar di X) adalah Anwar duduk di sebelah saya dan mengutuk Akta Hasutan, ketika kita berada di dalam pembangkang, beberapa tahun yang lalu. Janji-janji mudah dibuat – selepas mendapat kuasa semuanya dilupakan,” dakwa Surendran.

Awal hari ini, bekas Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming membidas keputusan larangan atau cubaan menyekat pemimpin dan akar umbi daripada mengulas dan mengkritik keputusan pengurangan hukuman terhadap Najib.

Jelasnya, pemimpin DAP tidak seharusnya membisu mengenai pendirian mereka terhadap keputusan tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya sedang menyiasat Tony berhubung kenyataannya di media sosial berunsur menghina institusi diraja dalam isu pengampunan Najib. – MalaysiaGazette