Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan pertemuan bersama Universiti Yamrouk bagi membincangkan peluang yang diboleh ditambah baik antara kedua-dua belah pihak ketika lawatan kerja ke Jordan

KUANTAN – Usahasama yang terjalin antara kerajaan negeri bersama Universiti Yarmouk sejak 20 tahun lalu diteruskan dalam melahirkan gradual berkelulusan agama yang berkualiti.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lawatan Kerajaan Pahang ke Jordan pada kali ini termasuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan peluang yang diboleh ditambah baik antara kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, sesi pertemuan dan perbincangan bersama pengurusan Fakulti Syariah dan Pusat Bahasa Universiti Yarmouk berjalan lancar.

“Kerajaan negeri mengadakan pertemuan bersama Prof. Dr Islam Massad, Presiden Universiti Yarmouk, Prof Dr Mohamad Talafhah, Dekan Fakulti Syariah Universiti Yarmouk dan Prof Dr Rasha Abdouh, Pengarah Pusat Bahasa Universiti Yarmouk di Bilik Mesyuarat Hilton Hotel Jordan.

“Pertemuan ini bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri Pahang dan Universiti Yarmouk terutamanya dalam meneroka pelbagai peluang dalam bidang pendidikan terutama melibatkan pelajar Pahang di Universiti Yarmouk.

“Alhamdulillah, perbincangan ini berjalan dengan lancar dan cukup positif,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menerusi program berkembar ini, pelajar yang terdiri daripada anak-anak Pahang akan mengikuti pengajian selama dua tahun di UCYP dan dua tahun lagi di Universiti Yarmouk.

“Empat perkara dibincangkan dalam pertemuan ini iaitu mengenai pertukaran pelajar, pembelajaran bahasa Arab secara online oleh tenaga pengajar di Jordan dan pelajar UCYP, pertukaran guru, serta kelangsungan Kursi Pahang di Universiti Yarmouk.

“Semoga hubungan dua hala ini terus terjalin dengan lebih erat bagi membantu mempermudahkan anak-anak Pahang untuk melanjutkan pengajian di universiti itu. Insya-Allah,” katanya.

Wan Rosdy kini mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke negara Jordan dan Maghribi yang bermula 25 Februari hingga 3 Mac 2024.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast