Gambar hiasan

SEREMBAN – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes mengasari seorang lelaki sehingga mendatangkan kecederaan di sebuah pusat pemulihan dadah dekat sini seperti yang tular menerusi laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata, kedua-duanya yang merupakan pekerja pusat pemulihan berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun itu ditahan di pusat pemulihan berkenaan, semalam.

Beliau berkata, pada 6.58 petang, Selasa lepas, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita menyatakan adik iparnya telah dipukul semasa berada di pusat pemulihan dadah itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul sejak mula mendaftar masuk ke pusat pemulihan dadah berkenaan kira-kira tiga bulan lepas.

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada seluruh anggota badan kini dirawat di sebuah hospital untuk menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerusi talian 06-7904 389. – BERNAMA