M.Kumar menunjukkan dadah yang berjaya dirampas selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor petang tadi.

JOHOR BAHRU – Polis berjaya merampas 13 kilogram pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan lebih RM2 juta selepas melakukan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di  Setia Indah pada minggu lalu.

Ketua Polis Johor, M. Kumar berkata, serbuan 1.30 petang sehingga 9 malam itu melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di Setia Indah dan pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 51 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 32 tahun.

“Susulan penahanan ini membawa kepada serbuan di sebuah lagi rumah teres dua tingkat di Seri Alam yang dijadikan tempat memproses semula dadah. Dadah ini dibawa dari beberapa negeri.

“Hasil siasatan mendapati sindiket telah beroperasi sejak Januari lalu dengan memproses semula pelbagai jenis dadah menjadi serbuk jus pelbagai perisa dan ianya dijual lebih RM200 setiap satu paket,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor petang tadi.

Hasil siasatan mendapati jus dadah yang diproses itu dijual kepada pelanggan tetap di kelab-kelab malam dan juga untuk pasaran tempatan.

“Dalam serbuan yang dilakukan ini,polis telah berjaya merampas 345 peket serbuk ekstasi berperisa seberat 13.2kg, 27 biji pil ekstasi, enam paket syabu dan sepaket ketamin.

“Dadah yang dirampas dalam operasi berkenaan boleh digunakan seramai 44,348 orang penagih,” katanya.

Dalam serbuan itu, turut disita sebuah kereta mewah, sebuah motosikal dan sebentuk cincin emas melibatkan nilaian RM121,506 serta wang tunai berjumlah RM5,300.

Hasil saringan urin mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketiga-tiga suspek yang ditahan ini kini dalam tahanan reman selama tujuh hari sehingga Selasa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Manakala hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Polis juga sedang giat mengesan dalang serta saki baki ahli sindiket tersebut yang dipercayai masih bebas.

Dalam sidang media sama, Kumar berkata, sejak awal tahun sehingga 3 April lalu, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan seramai 6,992 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan rampasan dadah sebanyak 1.64 tan bernilai RM10.62 juta. -MalaysiaGazette