PETALING JAYA – Program latihan kepimpinan atau Felo Keadilan yang dirasmikan dalam Konvensyen 25 Tahun Keadilan mula dibuka untuk kemasukan pertama bermula 1 Julai 2024.
Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, program untuk melahirkan perintis pemimpin muda dalam Keadilan itu terbuka kepada peserta berumur 22 hingga 40 tahun.
“Pemerkasaan anak muda penting bagi meneruskan legasi perjuangan dan pertumbuhan parti, terutamanya cabaran untuk mendekati anak muda pada hari ini.
“Menyedari akan kepentingan anak muda, saya memperkenalkan program Felo Keadilan, satu inisiatif bertujuan untuk melahirkan perintis pemimpin muda dalam Keadilan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Nik Nazmi juga berkata, Felo Keadilan yang akan berlangsung selama tiga bulan ini terbuka kepada ahli Keadilan merangkumi para aktivis serta golongan profesional.
“Kriteria lain termasuk syarat minimum mempunyai Ijazah Sarjana Muda atau pengalaman dalam aktivisme dalam sebarang disiplin.
“Peserta juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun pengalaman kerja dalam sebarang bidang.
“Mereka juga hendaklah menunjukkan pengalaman dalam peranan kepimpinan serta minat dalam bidang politik,” katanya.
Ditanya tentang syarat minimum akademik, beliau berkata ia bukan satu kewajipan sebaliknya diberi pilihan sama ada latar belakang pendidikan atau penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Ijazah Sarjana Muda tidak diwajibkan kerana mereka yang terlibat dalam badan bukan kerajaan pun boleh memohon, asalkan mereka anggota Keadilan.
“Bagaimana pendidikan asas itu perlu sebagai persediaan menjadi wakil rakyat khususnya ahli Parlimen yang perlu membaca dan memahami soal perundangan dalam sesi Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette