Oplus_0

PETALING JAYA – Masih terlalu awal untuk menilai keputusan MCA dan MIC boleh memberi kesan kepada calon Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Naib Presiden PKR, Nil Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu sudah mendapat perhatian Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat maklum balas positif daripada kedua-dua komponen Barisan Nasional (BN).

“Masih terlalu awal, kita akan pastikan setiap parti menyumbang kepada gerak kerja kempen.

“Saya percaya setiap undi itu penting, setiap parti dalam Pakatan Harapan (PH) atau BN, setiap parti komponen ada kekuatan.

“Kita kena garap semua untuk dapatkan kemenangan, tak boleh ada yang tertinggal.

“Apa yang saya tahu ada perbualan, perdana menteri ada berhubung dengan mereka, nampaknya agak positif, itu yang setakat saya tahu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Anwar yang juga Pengerusi Kerajaan Perpaduan akan mengadakan pertemuan empat mata bersama pemimpin utama MCA dan MIC dalam masa terdekat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi menyelesaikan perselisihan yang timbul susulan keengganan kedua-dua parti itu untuk membantu calon Perpaduan dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, PH memasuki PRK DUN Kuala Kubu Bharu mewakili Kerajaan Perpaduan dan bukan lagi atas nama parti tertentu seperti mana dalam pilihan raya sebelum ini.

“Seperti mana dalam PRN15 sebelum ini pun, pendekatan kita ialah kita masuk (PRK) sebagai Kerajaan Perpaduan.

“Memang ini (KKB) kerusi PH tapi kita masuk sebagai satu (gagasan) sebab kita berdepan hanya dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Katanya lagi, pendekatan Keadilan dan PH ialah berkempen dan meletakkan usaha sehabis baik, manakala kemenangan itu akan menjadi milik bersama.

“Walaupun yang bertanding itu PH-DAP, tapi di peringkat Keadilan, jenteranya peringkat negeri sudah diaktifkan buat kerja 100 peratus hingga hari pembuangan undi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette