SHAH ALAM – Polis Selangor sedang mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes seorang peniaga yang dibunuh sekumpulan lelaki berparang dan pistol taser di sebuah rumah dekat Taman Jaya, Kapar, 25 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah mengenalpasti dua suspek terbabit dan kini sedang giat mengesan mereka di dalam dan luar negara.
“Polis masih mencari dua lagi suspek yang boleh membantu siasatan itu. Kita pun telah kenal pasti dan kita tengah kesan dua lelaki ini yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.
“Kita tak pasti keberadaan mereka ketika ini, namun kita sedang mengesan mereka di dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Jaya, Kapar, 25 April lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 11.39 pagi.
Menurut Vijaya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), empat orang lelaki dikesan masuk ke rumah berkenaan dengan bersenjatakan parang dan ‘taser gun’.
Dalam pada itu, Hussein tidak menolak kemungkinan suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti kongsi gelap.
“Ya, insiden itu saya boleh katakan melibatkan aktiviti kongsi gelap,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengesah salah seorang suspek yang ditahan polis pada 29 April lalu telah didakwa di Mahkamah Klang, pada 30 April lalu.
“Kes bunuh itu yang berlaku pada 24 April 2024 di mana seorang lelaki India telah ditikam atau dibunuh, dalam kes itu kita telah menangkap dua orang dan salah seorang telah dituduh,” katanya. – MalaysiaGazette
















