Gambar Hiasan.

MELAKA – Seorang pekerja pembersihan warga Indonesia diberkas polis selepas dipercayai merakam aksi seorang wanita di dalam tandas kedai menjual biskut di Lorong Hang Jebat, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam kejadian kira-kira 4.15 petang itu, pengadu wanita berusia 24 tahun yang masih bujang sedang menggunakan tandas di tingkat satu premis berkenaan.

Menurutnya, semasa eksekutif kanan itu hendak memakai seluar, wanita itu ternampak satu telefon bimbit di lubang dinding tandas sebelah kirinya menyebabkan dia terkejut dan menyimbah paip air ke arah tangan individu berkenaan.

“Pengadu berasa takut dan terus keluar dari tandas sebelum menceritakan kejadian itu kepada kawan lelakinya setelah mereka beredar dari premis berkenaan.

“Selepas pengadu sudah bertenang, dia kembali semula ke kedai berkenaan dan mengadukan kejadian itu kepada pengurus premis,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, pengurus kedai berkenaan kemudian memanggil seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun yang merupakan pekerja pembersihan tandas dan memeriksa telefon bimbitnya.

“Pemeriksaan mendapati ada rakaman video pengadu di dalam tandas kedai tersebut dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

“Suspek yang sudah bekerja di situ sejak setahun lalu kemudian direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast