PUTRAJAYA – Isu cuti bersalin yang dihadkan 60 hari kepada pegawai perubatan di beberapa klinik kesihatan di Hulu Langat atas alasan kekurangan tenaga kerja akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau akan membawa dan membincangkan isu berkenaan di mesyuarat jemaah menteri yang akan bersidang esok.
“Saya akan membawa isu ini (cuti bersalin dihadkan) dan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet yang akan bersidang pagi esok (Rabu).
“Saya juga akan memastikan ia diambil maklum secara serius dan diambil tindakan sewajarnya di Kabinet. Pada masa yang sama, saya akan mengumpul segala maklumat dan butiran berkaitan isu berbangkit itu terlebih dahulu supaya dapat bentangkan esok di kabinet nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir bersama timbalannya, Datuk Seri Noraini Ahmad merasmikan Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di Ibu Pejabat kementeriannya hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Nancy mahu semua pihak yang terlibat dalam pengurangan tempoh cuti bersalin agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan demi menjaga kebajikan kakitangan.
Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja Kakitangan Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Hartal Doktor Kontrak mengkritik Tindakan Klinik Kesihatan di daerah Hulu Langat yang mengehadkan tempoh cuti bersalin selama 60 hari kepada kakitangan pegawai perubatan atas kekangan pegawai bertugas.
Penjelasan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat yang keputusan untuk meluluskan penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari berikutan kekurangan pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah berkenaan disifatkan sebagai mengecewakan, kata Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat. – MalaysiaGazette