KUALA LUMPUR – Sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri di sini dikenakan tindakan selepas tular dua resit nasi goreng sardin di premisnya naik harga sebanyak RM1.50 dalam masa sehari.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berkata, berdasarkan aduan membabitkan hantaran di media sosial sepasukan anggota telah digerakkan ke restoran terlibat hari ini.
“Pihak penguat kuasa KPDN telah mengadakan perjumpaan bersama penyelia restoran untuk siasat mengenai maklumat harga seperti yang dilaporkan.
“Menerusi pemeriksaan tanda harga pada buku menu di restoran tersebut mendapati harga bagi nasi goreng sardin ialah RM9 manakala caj 30 sen bagi bungkusan dinyatakan dengan jelas dalam menu untuk pelanggan.
“Manakala untuk pesanan dan makan di restoran, tiada caj lain dikenakan kecuali harga makanan sahaja termasuk tambahan caj SST sebanyak enam peratus,” kata dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, notis dikenakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011.
Ia bagi mendapatkan maklumat terhadap justifikasi perbezaan harga pada kedua-dua resit tersebut telah diserahkan kepada penyelia restoran untuk tindakan selanjutnya.
“Kita telah memberi amaran keras kepada pihak restoran untuk sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak keliru selain sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.
“Pihak restoran memohon maaf atas isu yang berlaku dan bersedia untuk menghubungi pengadu bagi membuat penjelasan atau sebarang perkara yang berbangkit,” jelasnya. – MalaysiaGazette