KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini membenarkan permohonan pengarah syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh untuk mendapatkan pasportnya untuk ke United Kingdom (UK).
Abdul Hamid memohon pemulangan sementara pasport beliau bagi menghantar anaknya menyambung pengajian di UK selain bertujuan untuk lawatan kerja.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membenarkan permohonan hari ini hingga 15 November depan selepas tidak mendapat bantahan pendakwaan dalam permohonan tersebut.
Ini juga merupakan kali kedua Abdul Hamid memohon pemulangan pasport, beliau ke Amerika Syarikat (AS) dan Jerman beberapa bulan lepas.
Ketika ini, Abdul Hamid Shaikh berdepan tuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Sejurus selepas dituduh, tertuduh yang mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan itu telah diikat jamin RM50,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan pasportnya ditahan sehingga selesai kes.
Pada Ogos tahun lalu, mahkamah menolak permohonan Abdul Hamid Shaikh untuk membatalkan pertuduhan menawarkan suapan bagi tujuan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Pada 31 Mei lalu, Abdul Hamid Shaikh memfailkan permohonan itu atas alasan pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah cacat selain tidak berasas, kerana tidak menyatakan butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan.
Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022. -MalaysiaGazette