Woo Kah Leong

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menempelak Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa `menunggang’ isu penangguhan sidang Dewan Rakyat sesi akan datang.

Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, mereka yang tidak celik akan menyangka Kerajaan Madani telah membatalkan sidang Parlimen dan tidak berani berdepan pembangkang seperti yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Sedangkan, menurut beliau, sidang Parlimen akan datang hanya ditukar tarikh bukan dibatalkan, sekali gus tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang muslihat atau sebagainya.

“Pas memang pakar dalam menunggang segala isu, sampai tempoh sidang Parlimen pun boleh ditunggang. Senang cerita, tukar tarikh sahaja, bukannya menutup Parlimen,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempersoalkan penangguhan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 23 Jun hingga 31 Julai ini ke tarikh 21 Julai hingga 28 Ogos depan.

Menurutnya, penangguhan itu bermaksud tempoh Parlimen tidak bersidang kali ini adalah selama 137 hari iaitu selepas ditangguhkan pada 6 Mac lalu.

Beliau mendakwa, ia merupakan tempoh ketiga terpanjang Parlimen tidak bersidang selepas penggantungan Parlimen selepas rusuhan 13 Mei 1969 (648 hari) dan semasa Proklamasi Darurat pada tahun 2021 (195 hari).

Sementara itu, Kah Leong yang juga Ketua DAPSY mempersoalkan kehadiran pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Pas sewaktu sidang Dewan Rakyat berlangsung.

“Bila Parlimen bersidang, adakah Ketua Pembangkang, Pengerusi PN atau Presiden Pas pernah memanfaatkan sidang Parlimen untuk menjadi kuasa semak imbang yang berfungsi?

“Macam mana dengan kadar kehadiran ketiga-tiga pemimpin tersebut khususnya dalam sesi Soal Jawab Perdana Menteri?” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan inisiatif yang ditunjukkan wakil rakyat PN apabila kerajaan melaksanakan langkah-langkah reformasi institusi di sidang Dewan Rakyat yang mana bukan sahaja tidak menyokong malah ada yang tidak hadir.

“Sudah merupakan rejim gagal, masih nak berbunyi kuat seperti tin kosong. Bukan sahaja gagal dalam mentadbir malah gagal dalam membangkang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast