JOHOR BAHRU – Helikopter milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, dekat sini Khamis lalu, dijangka ditimbulkan dalam masa terdekat.
Komander PGU Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Noor Sham Md Jani berkata, operasi berkenaan akan melibatkan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Proses menimbulkan helikopter itu penting bagi membolehkan pasukan siasatan menjalankan analisa lanjut mengenai punca kejadian.
“Insya-Allah, dengan adanya bantuan daripada agensi ini, proses menaikkan bangkai helikopter akan dapat dilakukan dengan lebih cepat, mungkin seawal esok atau lusa.
“Proses ini penting bagi membantu pasukan penyiasat PDRM menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan,” katanya.
Noor Sham berkata demikian kepada pemberita selepas melawat semua mangsa tragedi berkenaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan wujudnya kotak hitam dalam helikopter tersebut, Noor Sham menjelaskan, pesawat jenis AS355 itu tidak dilengkapi dengan kotak hitam seperti pesawat komersial.
“Sebenarnya, tiada kotak hitam dalam helikopter ini, sebaliknya apa yang dimaksudkan adalah alat komunikasi yang merekod interaksi antara juruterbang dan anggota yang bertugas di bahagian bawah,” ujarnya.
Artikel berkaitan: Bangkai helikopter terhempas dalam laut masih belum dinaikkan
Bapa terkejut anak terlibat nahas helikopter, patah tulang rusuk
MOSTI siasat insiden kemalangan helikopter secara menyeluruh
Beliau berkata, peralatan itu akan membantu pihaknya untuk mengetahui dengan lebih jelas apa yang berlaku semasa kejadian.
“Setakat ini tiada sebarang insiden baharu berlaku dan fokus kini tertumpu kepada operasi menaikkan helikopter yang dipercayai berada di dasar, ” katanya.
Untuk rekod, Khamis lalu, sebuah helikopter milik PGU PDRM, terhempas di Sungai Pulai, ketika melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025).
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang sebelum terhempas di lokasi.
Sementara itu, Noor Sham berkata, pihaknya sangat berharap agar kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden itu dapat segera pulih sepenuhnya.
“Alhamdulillah, kesemua mereka kini berada dalam keadaan stabil namun memerlukan sedikit masa untuk sembuh,” katanya.- MalaysiaGazette
















