KUALA LUMPUR – Desakan supaya sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli digantung hanya kerana mempersoalkan mengenai isu kehakiman hanya akan melemahkan dan menyebabkan PKR kehilangan taring sebagai parti reformasi.
Aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fairul al-Qasas berkata, desakan sedemikian juga hanya akan menyebabkan pemimpin parti itu akan berasa takut untuk menegur sebarang ketempangan dan lebih menjaga periuk nasi sendiri pada masa depan.

Ujar beliau, meskipun desakan itu selari dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti khususnya berkaitan tanggungjawab menjaga nama baik parti, namun ia tidak boleh ditafsir secara mudah.
“Saya secara peribadi menolak gesaan ini, sebaliknya Ketua Cabang (KC) Johor dan Kedah sewajarnya wajib berfikir bagaimana kelangsungan parti dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Kedah.
“Johor dengan masalah tiada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di sana dan Kedah dengan kemerosotan teruk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. KC wajib fikir untuk tarik sokongan rakyat dan menang dalam pilihan raya,” katanya menerusi laman sosial Facebook semalam.
Bagaimanapun, menurut Fairul yang juga bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau secara peribadi beranggapan Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR mempunyai asas kukuh dalam isu krisis kehakiman yang dibawa beliau dan pasukannya.
Malah beliau berbangga kerana Rafizi menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen kerajaan (BBC) dengan baik iaitu menegur kerajaan dan melawan naratif pembangkang.
“Jika jawatankuasa pilihan khas Parlimen ingin memanggil inkuri kes ini, dan memanggil PM (Perdana Menteri) untuk menjawab dan PM datang, maka ketahuilah bahawa kita telah bergerak selangkah kehadapan dalam reformasi institusi.
“Ini menunjukkan kita ada sistem kawalan terhadap Perdana Menteri.
“Ia juga menandakan bagaimana fungsi Parlimen dimainkan dengan baik dan kita mempunyai sistem semak dan imbang yang matang dalam memastikan kuasa kehakiman tidak terhakis dan kuasa eksekutif tidak melampau,” katanya.
Tambahnya, tindakan Rafizi itu juga tidak harus dilihat sebagai cubaan mensabotaj parti atau unsur undi tidak percaya.
Beliau yakin golongan atas pagar dan profesional lebih suka melihat institusi Parlimen diperkasakan dan dimainkan dengan baik berbanding sekadar menjerit di dalam Dewan Rakyat.
Sebelum ini, kesemua Ketua Cabang PKR di Johor dan Kedah menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan serta-merta keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman.
Mereka menyifatkan pendekatan semua Ahli Parlimen terbabit yang diketua Rafizi melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota kEADILAN merujuk Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti khususnya berkaitan tanggungjawab menjaga nama baik parti, mematuhi keputusan parti dan mengelak daripada sabotaj dalaman. – MalaysiaGazette
















