KUANTAN – Pas memberi gambaran sesiapa sahaja pemimpinnya yang berkaliber dan berkelayakan layak menerajui negara ini dengan menjawat jawatan Perdana Menteri.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, kepimpinan sebulat suara meletakkan satu nama yang tepat apabila tiba masanya jika parti tersebut menang Pilihan Raya Umum ke -16 (PRU16).
Katanya, persoalan itu tidak akan dijawab kerana pendekatan parti itu berbeza berbanding parti lain.
“Ramai dalam kalangan pemimpin Pas layak, jadi ia bukanlah isu. Kita tidak umum awal, Bukan bererti kami tiada calon, tetapi pendekatannya berbeza.
”Kami tidak ikut pendekatan pihak lain yang berebut untuk menjadi Perdana Menteri, menteri dan sebagainya. Jadi, jangan heret Pas untuk namakan pemimpin itu sekarang kerana kita tidak akan jawab,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis Perasmian Muktamar Pemuda Pas Pahang Kali Ke-43, hari ini.
Andansura mengulas persolan siapa dalam kalangan pemimpin Pas layak menjadi Perdana Menteri susulan parti itu menganjurkan Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, langkah tidak menamakan calon Perdana Menteri bukan persoalan utama kerana keputusan menentukan pucuk pimpinan adalah ‘sampai masa baru diumumkan’.
”Seperti mana di peringkat negeri sebelum ini, timbul juga persoalan siapa nama yang hendak diangkat sebagai calon Menteri Besar.
“Terbukti apabila menang, ada nama yang dicalonkan dan pemimpin dilantik berjaya mentadbir negeri masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette
















