Dr Bakri (kanan) bersama Dr Mohammad Shafie Othman (dua dari kiri) meninjau lokasi penemuan rangka manusia tersebut. Foto ihsan IPD Hilir Perak.

TELUK INTAN – Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam proses mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi untuk padanan identiti rangka manusia yang ditemukan pada 19 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, ujian DNA itu penting bagi membuat perbandingan serta mengenal pasti sama ada rangka berkenaan milik anak bongsu kepada bekas wakil rakyat tersebut.

Menurutnya, proses pengambilan sampel DNA itu akan dijalankan pada minggu ini.

“Ketika ini, tulang yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB namun identiti sebenar pemilik tulang itu masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau lokasi penemuan rangka manusia tersebut bersama Ketua Jabatan Pakar Perunding Forensik, Dr Mohammad Shafie Othman di sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong di sini pada Rabu.

Katanya, setakat ini pihak forensik menemui rekod rawatan pergigian yang dibuat mangsa pada April lalu, dan sedang menjalankan proses padanan dengan data gigi yang diperoleh daripada rangka berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan satu rangka dan tengkorak manusia bersama ditemui di tingkat atas sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Sungai Nibong di sini, dipercayai anak bongsu kepada bekas ADUN Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi.

Penemuan mengejutkan itu berlaku selepas abang mangsa yang berusia 78 tahun pergi ke rumah tersebut sekitar jam 11 pagi untuk melawat adiknya yang berusia 75 tahun itu sebelum terhidu bau busuk yang mencurigakan.

Dr Bakri dilaporkan berkata, abang mangsa membuat laporan polis pada jam 2.24 petang hari yang sama selepas dia tidak dapat naik ke tingkat atas akibat struktur tangga kayu rumah yang telah reput.

Tambahnya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast