Fadhlina.

BUKIT MERTAJAM – “Jangan cerita bukan-bukan dan beri ruang kepada proses siasatan berlangsung dengan telus.”

Itu penegasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu semua pihak menghentikan penyebaran spekulasi serta fitnah berkait kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, bagi menjaga integriti siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Menurut Fadhlina, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi komitmen penuh untuk membantu siasatan.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu memberikan ruang kepada proses siasatan dijalankan dengan teratur tanpa campur tangan atau tekanan luar.

“Kita tidak ada apa-apa yang kita perlu lindung dan sesiapa saja yang terlibat kita tidak akan kompromi.

“Kita telah melakukan semua perkara dengan mengambil kira aspek memudahkan proses siasatan itu termasuk memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Kita semua mahukan keadilan dan berharap siasatan ini dapat dirungkai segera selain kita beri laluan agar siasatan dapat berlangsung dengan baik dan elakkan fitnah serta spekulasi yang bukan-bukan hingga boleh memberikan kesan kepada kes ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Fadhlina, pihaknya juga telah membuat laporan polis untuk menjaga nama baik serta melindungi pihak yang terlibat dalam kes ini.

“Laporan-laporan polis ini dibuat untuk menjaga nama baik dan juga melindungi mereka yang sepatutnya dilindungi, khususnya anak-anak kita, guru-guru kita dalam aspek tidak boleh difitnah sebegitu rupa.

“Ada proses siasatan, ikut proses tersebut. Jadi jangan tambah cerita yang bukan-bukan dan kita bagi tumpuan kepada siasatan ini dengan mendukung semua aspek integriti dan proses siasatan yang dilakukan oleh pihak kuasa.

“Kita beri kepercayaan itu kepada institusi yang menjalankan siasatan, mudah-mudahan insyaAllah kebenaran itu dapat kita rungkai dan juga keadilan itu dapat kita berikan kepada tempat yang sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa penyebaran gambar dan identiti kanak-kanak adalah dilarang dan boleh menjejaskan siasatan.

“Saya ingat sudah ada penegasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarat, polis dan juga pagi tadi Yang Berhormat Menteri Komunikasi menegaskan bahawa gambar kanak-kanak tidak boleh dipaparkan, diedarkan.

“Seruan ini sangat penting ketika ini supaya siasatan ini dapat dijalankan dengan lebih kemas, telus dan integriti oleh pihak PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast