GEORGE TOWN – Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail memulakan tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berusia 59 tahun itu mengambil alih jawatan daripada Datuk Hamzah Ahmad yang kini memimpin Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Majlis Serah Terima Tugas berlangsung di Mess Pegawai Kanan Polis Pulau Pinang, Jalan Lahat, disaksikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, bersama ketua-ketua polis daerah dan pegawai kanan kontinjen negeri.
Penyerahan dilakukan oleh Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Pada majlis itu, Abdul Aziz turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Azizee.
Turut diadakan ialah penyerahan tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Pulau Pinang daripada Datin Wan Norazah Wanchik kepada Datin Roslina Mohd Razak, disaksikan Pengerusi Perkep Jabatan Pengurusan, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.
Bercakap kepada pemberita, Azizee bertekad memastikan negeri ini kekal selamat serta meneruskan trend penurunan kadar jenayah.
“Semalam saya dimaklumkan kadar jenayah menurun dan kita akan pastikan ia kekal. Kalau boleh, kita turunkan lagi,” katanya.
Memulakan kerjaya sebagai Inspektor Polis pada 1993 di Jabatan Logistik dan Teknologi, Azizee pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan, Ketua Unit Projek (Pengurusan Fasiliti), Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, serta Pegawai Turus Pembangunan dan Penyelenggaraan.
Beliau memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan, dengan pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) sejak 22 Julai tahun lepas.
Kepakaran dalam bidang logistik, pengurusan fasiliti dan pembangunan teknologi menjadikan Azizee antara pegawai kanan yang dihormati, manakala pengalaman luasnya di pelbagai peringkat perjawatan diyakini mampu memperkukuh keupayaan serta kecekapan operasi PDRM di negeri ini. – MalaysiaGazette
















