KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai Takor menerusi operasi khas yang dijalankan pada 29 Ogos lalu di dua lokasi sekitar Kajang.
Operasi yang bermula pukul 3.45 petang itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang diperoleh dalam tempoh dua minggu.
Dalam serbuan itu, pihaknya menahan sembilan individu berusia antara 26 hingga 60 tahun, termasuk sepasang suami isteri warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter serta tiga lelaki warga Indonesia dipercayai sebagai penjaga premis.
“Turut ditahan dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang dipercayai mangsa sindiket. Pemeriksaan awal mendapati dua lelaki warga Indonesia telah tinggal lebih masa manakala lima lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, antara yang disita dalam operasi itu termasuk empat pasport Indonesia, tujuh telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM1,455 dipercayai hasil aktiviti sindiket serta sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang digunakan sindiket berkenaan.
Sindiket Takor dipercayai menyasarkan warga Indonesia yang tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen sah untuk dihantar pulang ke negara asal.
Mereka menggunakan helah sebagai pemandu e-hailing bagi mengaburi pihak berkuasa dengan kadar bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap individu.
Sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.
Zakaria menberitahu, tiga lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 26H Akta ATIPSOM 2007 manakala pasangan suami isteri tempatan pula disiasat di bawah Seksyen 26J akta yang sama.
Katanya, dua lagi lelaki warga Indonesia disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan dua lagi individu bawah Seksyen 15(4) akta sama.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Zakaria berkata, JIM turut menahan seorang wanita warganegara Bangladesh berusia 32 tahun kerana terlibat dengan satu laman sesawang penipuan permohonan eVISA menggunakan nama KEY MALAYSIA.
Beliau menjelaskan, suspek yang memiliki pas lawatan sosial dipercayai telah berulang-alik ke Malaysia sejak tiga tahun lalu dan menjadikan warga asing yang memerlukan visa sebagai sasaran.
“Kadar bayaran yang dikenakan antara RM300 hingga RM500 iaitu dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar sebenar.
“Laman sesawang sindiket yang menyerupai portal rasmi eVisa Malaysia itu dilaporkan telah menerima lebih 52,000 permohonan sejak tahun 2022. Ia menawarkan dua kategori iaitu regular visa dan urgent visa dengan janji kelulusan dalam tempoh dua hingga lima hari bekerja,” ujarnya.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, selepas bayaran dibuat, pemohon akan menerima notifikasi penolakan permohonan dari laman sindiket dan apabila menghubungi perkhidmatan pelanggan (live chat), mereka akan menerima ugutan kononnya pasport mereka akan disenarai hitam.
Suspek ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan turut dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya. Suami suspek yang juga warganegara Bangladesh telah diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.
Beliau turut menegaskan kewujudan laman sesawang penipuan seperti itu bukan sahaja mencalar imej jabatan malah menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem eVisa negara.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan Madani, JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan serta memastikan keselamatan dan integriti negara terus terpelihara,” tambahnya.
Katanya lagi, JIM turut komited meneruskan operasi bersepadu secara berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang sejajar prinsip Malaysia Madani yang mengutamakan keselamatan, kemakmuran dan keharmonian sosial. – MalaysiaGazette
















