GEORGE TOWN – Seorang bekas jurulatih sukan terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya RM838,328 lesap diperdaya sindiket phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan daripada lelaki berusia 75 tahun itu semalam selepas wang miliknya dipercayai dipindahkan ke akaun pihak ketiga.
Hasil siasatan mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kononnya bagi memaklumkan nama mangsa telah disenarai hitam serta disyaki terlibat dalam jenayah penyebaran maklumat palsu.
“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum suspek mendakwa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan meminta butiran peribadi termasuk maklumat akaun bank.
“Mangsa yang panik telah mengikut segala arahan diberikan termasuk memindahkan wang daripada akaun simpanan tetap ke dalam akaun bank atas nama mangsa sendiri sebelum kesemua kad ATM beserta nombor kata laluan diserahkan kononnya untuk tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia.
“Susulan itu, mangsa diarahkan memasukkan semua kad ATM ke dalam sampul dan meninggalkannya di kawasan pos pengawal perumahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azizee, selepas serahan dibuat pada 11 Ogos lalu, mangsa ke bank untuk membuat semakan sebelum mendapati kesemua wang simpanannya telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga yang tidak diketahui.
“Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette
















