Ajak Shiro

MELAKA – Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro mendedahkan ada pihak yang cuba menipu sebanyak RM100,000 untuk pelaburan membuka francais jenama restoran masakan Nusantara moden diasaskannya, Bumbu Babah.

Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanaffi Razak, 39, berkata, individu yang cuba memperdaya mangsa mendakwa dirinya sebagai wakil Bumbu Babah Ventures, menawarkan peluang pembukaan francais kononnya dengan kebenaran syarikat tersebut.

“Saya terkejut bila ada yang telefon saya sendiri tanya betul ke orang ini wakil saya tapi bila saya semak nama dan tengok gambar, saya tak kenal langsung.

“Mangsa masa itu dah hampir nak bayar RM100,000 untuk buka cawangan tapi mujurlah dia semak dulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Grand Opening Bumbu Babah Melaka di Jalan Hang Tuah, Sabtu lalu.

Perasmian cawangan melalui kerjasama strategik antara Analynsda Holdings Sdn Bhd dan Babah Ventures Sdn Bhd, pengendali utama rangkaian restoran Bumbu Babah itu disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum.

Ibrahim (tengah) mengaminkan doa selepas merasmikan jenama restoran masakan Nusantara moden, Bumbu Babah di Jalan Hang Tuah, Melaka malam ini.

Menurut Ajak yang juga anggota kumpulan Shiro, dia tidak pernah mewakilkan mana-mana individu di luar organisasi untuk menguruskan pelaburan atau pelesenan jenama berkenaan kecuali Ali dan Syafiq untuk menguruskan urusan pelesenan Bumbu Babah.

“Selain dua nama ini, saya tak ada wakilkan orang lain ke apa tapi saya nasihatkan kalau ada yang nak buat pelaburan, lebih baik jumpa saya sendiri di kedai untuk mengelakkan daripada ditipu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang hampir menjadi sasaran penipuan itu pada awalnya diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM100,000 sebelum mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dan menghubungi beliau.

“Saya risau ada orang buat pinjaman bank sebab nak beli lesen francais, tapi kena tipu. Saya nak buat bisnes ni lama, jadi saya nak orang percaya dengan jenama Bumbu Babah, bukan sebaliknya,” tegasnya.

Setakat ini, jelasnya, ada dua cubaan penipuan dikenal pasti di sekitar Lembah Klang namun tiada mangsa yang mengalami kerugian selepas sempat mendapatkan pengesahan daripadanya.

Ajak kini menguruskan lapan cawangan milik sendiri daripada 33 cawangan aktif seluruh negara, dengan cawangan ke-34 bakal dibuka di Eco Majestic hujung minggu ini.

Setakat ini, jenama tersebut menawarkan lebih 50 menu masakan asli Indonesia termasuk sambal belacan, emping belinjor, begedil dan tempe goreng, hasil resipi cef dalaman yang diiktiraf.

Dengan pengembangan pesat termasuk perancangan menembusi pasaran Pantai Timur dan utara tanah air menjelang Februari depan, Bumbu Babah kini dilihat sebagai antara jenama restoran yang semakin mendapat sambutan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast