KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kejadian seorang wanita dicopet ketika sedang berjalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang videonya kini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut pada 10 Oktober lepas dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai wanita yang mendakwa kehilangan wang tunai dan syiling dinar emas selepas dompetnya dicuri penyeluk saku di kawasan Bukit Bintang.
Difahamkan, kejadian itu tidak sengaja dirakam dan video tular tersebut jelas memaparkan wajah penyeluk saku berkenaan sedang membuka beg sandang mangsa dan mencuri dompetnya.
Mangsa mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM8,200 melibatkan RM3,200 wang tunai dan dua dinar emas. -MalaysiaGazette
















