KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjelaskan istilah `budaya luar’ dalam peraturan kebudayaan dan keseniaan di universiti itu adalah merujuk kepada unsur budaya yang tidak sejajar dengan nilai institusi dan amalan budaya masyarakat Malaysia.
UTM dalam satu kenyataan hari ini berkata, istilah itu tidak merujuk kepada mana-mana budaya, tradisi atau komuniti dalam negara, sebaliknya merujuk kepada keperluan universiti memastikan setiap aktiviti budaya dan kesenian dilandaskan nilai murni dan identiti tempatan.
Menurutnya, aktiviti kebudayaan dan kesenian di UTM dianjurkan dengan menitikberatkan kesederhanaan, adab, dan saling menghormati, dengan kepekaan terhadap kepelbagaian budaya warga kampus.
Matlamatnya ialah membentuk sahsiah dan disiplin diri; memupuk kreativiti, inovasi dan kepimpinan; menggalakkan kesejahteraan diri; menyuburkan kecemerlangan ilmu melalui seni dan budaya; serta memperkukuh identiti budaya UTM sebagai institusi yang inklusif, katanya.
Kenyataan itu merujuk kepada pertikaian yang tercetus di laman sosial berhubung memo peraturan kebudayaan dan kesenian di UTM yang tidak membenarkan kumpulan budaya luar dibawa masuk ke kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.
Bagaimanapun, peraturan itu mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang mendakwa sama ada budaya luar itu termasuk yang bukan berkaitan Melayu.
Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, UTM menegaskan komitmennya terhadap nilai kepelbagaian dan inklusif selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas negara Malaysia.
Katanya, universiti itu menghormati serta meraikan perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya, agama dan warisan yang menjadi kekuatan komuniti kampus.
UTM kekal komited menyediakan persekitaran harmoni dan terbuka kepada maklum balas bagi memastikan dasar dan amalan terus relevan dan menyokong aspirasi universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi bertaraf global. – MalaysiaGazette
















